Friday 8 July 2011

Bahan buat bom

IPOH: Seorang pemandu teksi ditahan apabila kenderaannya dipenuhi beberapa bahan dan kelengkapan untuk membuat bahan letupan yang dipercayai ada kaitan dengan cubaan mencetuskan huru-hara menjelang perhimpunan Bersih 2.0 hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, lelaki berusia 41 tahun berasal dari Kemboja itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya ‘Ops Padam Bersih’ di susur masuk ke Plaza Tol Tapah, kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin.

“Kami menemui empat guni mengandungi simen bercampur kapur, satu guni kecil berisi serbuk hitam dipercayai sekam padi, dua guni plastik jenama Borax Decahydrate mengandungi serbuk putih, satu guni berisi paip dan getah paip, lima biji mangkuk tanah, satu beg plastik mengandungi pasir dan satu tong plastik mengandungi cecair disyaki asid ,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku dalam perjalanan pulang dari Kampar ke Ulu Tiram, Johor, dan memberi alasan bahan dibawa untuk tujuan mendulang bijih timah.

Mohd Shukri berkata, alasan mencurigakan itu akhirnya membawa padah apabila suspek ditahan untuk siasatan dan direman selama empat hari hingga Isnin depan.

Menurutnya, semua bahan dirampas itu kemudian dihantar ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Beliau berkata, dalam serbuan berasingan di kawasan jirat Cina di Kampung Sitiawan, Lumut, kira-kira jam 10 malam semalam, polis berjaya merampas satu plastik hitam berisi butiran hijau dipercayai baja, empat bateri jenama Sony bersaiz AA, 21 botol mineral 500 milimeter berisi minyak petrol dan bersumbu serta lapan helai kemeja T putih tertulis perkataan ‘KOTOR’.

“Polis menerima maklumat orang awam yang mendakwa melihat sekumpulan 10 lelaki memakai baju-T kuning berkumpul di kawasan jirat itu. Bagaimanapun, sebaik serbuan dilakukan, semua lelaki berkenaan tidak kelihatan di lokasi kejadian dipercayai sudah melarikan diri.

“Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 4 akta sama. Kami percaya kesemua bahan akan digunakan untuk mengganggu ketenteraman awam selain berpotensi menyebabkan kerugian harta benda dan mengancam keselamatan,” katanya.
Mohd Shukri berkata, pihaknya akan melakukan beberapa langkah bagi mengekang perhimpunan berkenaan termasuk menjalankan pemantauan rapi.

Sumber: Harian Metro


Pstttttt..... Tulisan warna merah tu jadi dalam kawasan Pasir Panjang....

No comments:

Post a Comment