Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
SHAH ALAM - Jika Umno melakukan sumpah taat setia bagi ‘mengikat’ ahlinya daripada mengkhianati calon yang bakal dipilih pucuk pimpinan parti untuk bertanding pada pilihan raya akan datang, Pas pula melakukan sumpah baiah bagi pastikan calon yang menang tidak lompat parti.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ada tiga perkara dalam Sumpah Baiah yang perlu dipatuhi calon Pas.
“Pertama, calon berjanji jika menang (dalam pilihan raya), dia tidak akan melompat atau keluar parti. Kedua, sekiranya keluar parti atau lompat parti, mereka mesti kosongkan kerusi kerana telah khianat kepada pengundi yang memilih mereka daripada parti yang ditandingi.
“Dan yang ketiga, sekiranya dia (calon) keluar parti atau lompat parti dan tidak mengosongkan kerusi, maka haramlah pendapatannya, elaunnya dan pencen yang diterimanya kerana dia tidak amanah kepada rakyat yang diwakilinya,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, tiga perkara tersebut ditetapkan bagi mengelak calon Pas yang menang tumbang di tangan Umno.
“Sebelum ini, ada usaha untuk beli wakil rakyat kita (Pas) dengan menawarkan wang agar lompat parti. Jadi dengan cara ini, kita ikat calon dan mereka bersumpah atas nama ALLAH,” katanya.
“Sumpah Baiah dibuat setelah seseorang telah pasti dipilih sebagai calon. Yang melanggar sumpah ini berdosa dan wajib bayar kifarah sumpah,” ujarnya.
Semalam, Tuan Ibrahim memberitahu sumpah antara Umno dan Pas berbeza.
“Sumpah Umno lebih kepada pemilihan calon dan bukan dibuat kerana amanah yang diberikan oleh rakyat atau parti,” katanya.
Pada Perhimpunan Agung Umno yang berakhir Sabtu lalu, sumpah taat setia yang diketuai oleh Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dilafazkan semua perwakilan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno.