Monday, 9 April 2012

Tuntutan melampau Dong Zong bukan semangat 1Malaysia

SUKAR menjadi pemimpin Cina yang berada di pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam suasana politik hari ini.
Itu yang dialamin Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong, dari MCA apabila dikutuk dan diejek hanya kerana mahu mendengar dan mencari penyelesaian kepada isu sekolah Cina yang dibawa Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Ahad lalu.
Walaupun tidak dijemput, Wee  insaf dia perlu hadir pada mesyuarat itu untuk mendengar sendiri masalah sekolah Cina. Dengan restu kepimpinan tertinggi BN, Wee hadir tanpa menghiraukan risiko bakal dialami.
Nyata pemimpin MCA ini bukan saja dikutuk dan diejek, malah sampai ada yang mahu mengetuk kepalanya dengan surat khabar dan hampir ada tangan melayang ke mukanya.
Namun, Wee masih boleh bertenang kerana sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mendengar suara rakyat, apa lagi kaumnya yang kelihatan marah dengan kerajaan kononnya tidak membela nasib kaum Cina, malah ada yang mendakwa dilayan seperti warga kelas kedua.
Begitu banyak komen dan analisis mengenai kejadian menimpa Wee dan ramai pula tidak percaya dengan tuntutan yang dibuat Dong Zong, yang kelihatan sering muncul apabila politik negara memasuki musim pilihanraya umum.
Tuntutan Dong Zong nyata mencabar kesabaran bangsa Melayu. Antara tuntutan yang mendesak Kementerian Pelajaran mengambil tindakan serta merta ialah:
- Memindah keluar semua guru yang tidak mempunyai kelayakan Bahasa Mandarin peringkat SPM dari sekolah rendah Cina;
- Menyediakan kursus khas untuk guru Bahasa Mandarin yang mengajar Bahasa melayu (BM) atau Bahasa Inggeris (BI) bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun, bagi membolehkan mereka layak untuk mengajar ketiga-tiga matapelajaran Bahasa Mandarin, BM dan BI.
- Membuat reformasi silibus latihan guru bagi memastikan lebih ramai guru boleh berbahasa Mandarin yang diperlukan sekolah Cina.
- Mengkaji semula Akta Pendidikan bagi memastikan sekolah vernakular diberi status yang sama dan dijamin kedudukannya sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan.
"Melihat semua tuntutan ini bukan sahaja orang Melayu marah, tapi orang Cina yang sayangkan Malaysia juga marah... di mana agenda nasional Dong Zong?
"Mengapa mereka tidak terus meletakkan syarat - tidak ada seorang pun guru berbangsa Melayu atau bangsa lain dibenarkan atau layak mengajar sekolah Cina.
"Bagaimana kami pemimpin Cina boleh mempertahankan kewibawaan sebagai pemimpin Malaysia daripada pelbagai bangsa, jika kami tunduk dengan tuntutan Dong Zong," kata Wee ketika ditemui di Parlimen, khamis lalu.
Soalan Wee ini wajar diajukan kepada Dong Zong - apakah matlamat meletak tuntutan jelas menjurus kepada usaha menyekat secara halus kemasukan guru bangsa lain di semua sekolah Cina.
"Malaysia ialah sebuah negara pelbagai kaum. Penyerapan nilai murni sebagai rakyat Malaysia bermula di sekolah, tuntutan Dong Zong ini hanya akan menimbulkan kemarahan bangsa lain.
"Justeru, Kementerian Pelajaran akan bertegas dan kekal dengan keputusan yang sudah dipersetujui. Tuntutan tidak praktikal dan bertentangan dengan nilai 1Malaysia sudah pasti tidak diterima," kata Wee.
Penulis politik, Prof Madya Dr Ridhuan Tee Abdullah, seorang Cina beragama Islam juga tidak lari daripada meluahkan rasa marah apabila berkata, tuntutan Dong Zong ini amat tidak logik dan melampau dan kerajaan sepatut boleh membaca strategi lapuk ala komunis mereka.
"Jangan gentar sama sekali dengan ugutan menjelang pilihanraya. Biar kalah tetapi bermaruah, daripada menang tetapi tergadai segala-galanya. Generasi akan datang menderita, kita akan dikutuk selama-lamanya," kata Ridhuan.
Ridhuan yang mengajar di Universiti Pertahanan nasional malaysia, menggelar kumpulan Cina seperti Dong Zong ini sebagai 'ultra kiasu' dan akan menggunakan apa saja demi kepentingan mereka.
Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memperkenalkan konsep 1Malaysia, mereka 'memperalatkan' konsep itu untuk menuntut hak samma rata dengan golongan pribumi yang dilindungi perlembagaan.
Tuntutan Dong Zong bukan saja bertentangan konsep 1Malaysia, bahkan ia bertujuan menutup terus pintu sekolah Cina kepada guru bangsa lain.
Tuntutan Dong Zong juga langsung tidak mencerminkan sikap toleransi sebagai sebahagian rakyat Malaysia. Mereka tidak kisah sekiranya masih ramai bangsa Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu atau berbahasa Inggeris, malah tidak teragak-agak mencipta koloni bangsa Cina tanpa sedikit menghiraukan keperluan untuk menjadi rakyat Malaysia yang sejati.
"Apabila melihat pemimpin DAP berada di barisan hadapan menyokong tuntutan Dong Zong ini, terbukti ini adalah golongan pemimpin yang talam dua muka. kita tidak payah bercakap mengenai konsep 1Malaysia BN, kerana tindakan DAP ini sekaligus menghapuskan konsep 'Malaysian Malaysia' mereka sendiri," kata seorang wartawan dan blogger.
Satu lagi persoalan timbul dengan tunttan Dong Zong ini, apa gelaran yang perlu kita beri kepada mereka yang mengaku sebagai rakyat Malaysia tetapi terus terkial-kial berbahasa melayu dengan sempurna, layakkah mereka diberi status sebagai warga Malaysia?
Petikan: Berita Harian, Ruangan Rencana, Tulisan Jamhariah Jaafar, 06 April 2012

No comments:

Post a Comment