Thursday 2 June 2011

Pulau Pinang nikmati tujuh kelebihan selepas penstrukturan semula

PUTRAJAYA 2 Jun - Pulau Pinang bakal menikmati tujuh kelebihan selepas menandatangani perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air dengan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, kelebihan-kelebihan yang diperoleh itu secara tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat terutamanya dalam menentukan kadar tarif air.
Beliau berkata, pertamanya, kerajaan negeri tidak perlu membayar semula pinjaman bekalan air bernilai RM655.2 juta kepada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya ia dibiayai oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
"Kedua, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan diberi peruntukan geran sejumlah RM1.2 bilion untuk projek pembesaran Empangan Mengkuang di negeri itu.
"RM1.2 bilion itu akan ditukar menjadi geran dan bukannya pinjaman tanpa faedah yang akan dibiayai oleh kerajaan negeri," katanya.
Beliau berucap pada majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Guan Eng berkata, kelebihan ketiga pula menyaksikan Kerajaan Persekutuan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap projek pengendalian sumber bekalan air di negeri tersebut.
Perjanjian itu juga, katanya, dapat meringankan bebanan kewangan kerajaan negeri untuk pembangunan dan peningkatan penyediaan bekalan air.
"Kelima, perjanjian itu membolehkan PBAPP memberi tumpuan penuh terhadap penyediaan bekalan air yang dirawat dan penyediaan perkhidmatan serta penumpuan terhadap pencapaian operasi yang efisien, peningkatan kualiti air dan perkhidmatan lain.
"Keenam, PBAPP kini boleh bergerak ke arah pemulihan kos dan kemandirian kewangan untuk jangka masa panjang," katanya.
Seterusnya, kuasa menentukan kadar tarif air di negeri itu akan dapat ditentukan oleh warga Pulau Pinang sendiri.
Begitupun, katanya, kerajaan negeri akan terus mengkaji kenaikan kadar surcaj air bagi menghukum pengguna domestik yang melakukan pembaziran memandangkan Pulau Pinang mengalami penggunaan air yang paling tinggi di Malaysia iaitu 286 liter seorang sehari.


NOTA : Kerajaan DAP Pulau Pinang dah MOU dengan Kerajaan Persekutuan (BN). Kerajaan PAS Kelantan pimpinan TGNA bila pula nak kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan  (BN)?????

No comments:

Post a Comment